Wednesday, January 7, 2009

Keluarga Tersayang

Bismillah...

Salam kepada semua pembaca yang masih setia melayari blog ini. Apa khabar semua? Saya harap semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Baiklah, kali ini saya ingin berkongsi kepada pembaca tentang kehidupan saya dalam keluarga. Mungkin ada yang bosan bila mendengar cerita tentang keluarga. Oleh itu, dalam blog ini saya ingin kongsikan tentang perspektif saya dari aspek emosi dan psikologi terhadap keluarga saya.

Saya dibesarkan dalam keluarga seorang anggota polis yang berpangkat Lans Kopral. Dibesarkan dalam keluarga yang berstatus ekonomi sederhana bukanlah penghalang untuk adik beradik saya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing. 2 orang kakak saya pemegang diploma dan saya sendiri bersama seorang lagi kakak bakal pemegang ijazah. Abang saya kurantg bernasib baik, kerana dari kecil gagal meneruskan persekolahan, tetapi kini sudah bekerja.

Perbezaan umur yang begitu jauh antara saya dengan adik beradik lain menyebabkan “chemistry” antara kami sangat unik. Semasa masih dalam alam kanak-kanak, saya kurang diberi peluang untuk bermain seperti kanak-kanak lain. Perkara ini sebenarnya membantutkan proses perkembangan psikologi saya. Menurut teori psikoanalisis, masalah yang berlaku semasa di alam kanak-kanak boleh mempengaruhi perwatakan saya ketika dewasa.

Ibu, bapa, serta adik beradik sebenarnya menyayangi satu sama lain. Tapi, bagi saya ahli keluarga saya bukanlah sempurna. Mereka, terutama mak dan bapak menyediakan apa yang kami minta semampunya. Begitu juga dengan adik beradik saya yang lain. Namun, kini, apa yang saya benar-benar harapkan daripada semua ahli keluarga adalah memahami perasaan saya. Bagi saya, kasih sayang bukan dinilai dari segi makan minum, pakaian, wang dan keperluan asas lain yang disediakan. Kasih sayang sebenarnya memerlukan sifat saling memahami.

Misalnya, emak saya memang seorang yang baik dan mudah mesra dengan rakan-rakan saya. Namun, acap kali gurauan emak atau adik beradik yang lain seakan menjatuhkan air muka saya. Mereka tidak sedar semua itu. Merendahkan anak sendiri di hadapan rakannya sangat menghiris perasaan saya. Namun, saya redha dan memaafkan perbuatan itu kerana saya tahu mereka tidak faham tentang konsep menghargai emosi seperti yang saya amalkan selaku kaunselor.

Kadang-kala saya berasa sedih kerana tiada tempat untuk mengadu masalah. Tidak seperti rakan lain, mereka boleh mengadu masalah dengan ahli keluarga dan mendapat semangat baru melalui keluarga. Dalam hidup saya, setiap kali saya menghadapi masalah, ahli keluarga saya akan meletakkan punca masalah itu di bahu saya. Perkara ini sebenarnya sangat mengecewakan dan pedih untuk diterima.

Justeru, saya berharap kepada semua pembaca agar menghargai perasaan dan keperluan orang lain, terutama keluarga sendiri. Layanlah orang lain seperti mana anda mahu dilayan. Saya doakan agar anda semua bahagia di sisi keluarga tersayang. Doakan juga kebahagiaan saya. Sekian...

2 comments:

Dosz said...

memang penuh emosi :)

dUniAkuiNdAh said...

aku doakn klak kau lah ayah yg cemerlang memahami emosi anak2
yehhhee