Thursday, March 19, 2009

Angkasawan Datang...

Bismillah...

Salam bimbingan buat semua pembaca blog Hishammudin Damy. Blog yang penuh kedamaian dan semestinya ditulis oleh Hishammudin. Kali ini saya ingin kongsikan satu pengalaman berharga yang telah dilalui pada minggu lepas.

Pada Khamis lepas, 12 Mac 2009, pihak IKM telah mengamanahkan saya untuk menjadi pegawai pengiring kepada 32 orang ahli Badan Perwakilan Pelatih IKM ke MRSM Kuching. Tujuan rombongan kami ke sana adalah untuk menghadiri perhimpunan bersama dengan Angkasawan Pertama Negara. Tentatif menunjukkan kehadiran Angkasawan tepat jam 9.00 pagi. Walau bagaimanapun, beliau menjejakkan kaki ke Dewan Sri Kenyalang MRSM lewat 1 jam 30 minit.

Pelik rasanya. Bagaimana seorang Angkasawan yang seharusnya mempunyai disiplin terhadap ketepatan masa, boleh tiba lewat sebegitu sekali. Sekadar pengetahuan saya, ralat walau 1 milisaat pun boleh menentukan hidup mati ketika berada dalam ekspidisi penjelajahan angkasa lepas.

Dipendekkan cerita, rupa-rupanya, selama lebih kurang 1 jam 30 minit itu digunakan oleh para VIP dan tetamu kehormat untuk minum pagi dan bergambar bersama Angkasawan. Timbul lagi persoalan. Bagaimana seorang VIP yang menjadi pemimpin boleh membelakangi hak masa mereka di bawah pimpinannya? Lahir rasa simpati tatkala melihat anak-anak kecil daripada sekolah rendah berdekatan yang berpeluh menunggu ketibaan idola mereka sampai di hadapan mata.

Setelah sampainya Yang Diraikan ke dalam dewan, suasana dewan bingit sekali seakan hiruknya sambutan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Semua pelajar berpusu-pusu ingin bersalaman dan bergambar dengan hero kesayangan mereka itu. Lebih menarik lagi adalah apabila Angkasawan duduk betul-betul di hadapan kerusi saya. Jauh di sudut hati ingin bergambar dengan "the one and only" Angkasawan. Namun bila melihat kamera pada "handphone" yang ibarat hidup segan mati tak mau, malu rasanya. Maklumlah, bila dikelilingi pegawai dan VIP lain, mereka semuanya memegang kamera digital yang berharga RM1000 ke atas. Saya pula hanya menyimpan kamera dalam telefon Sony Erricson K310i yang berharga kurang RM400 di poket.

Program pada hari tersebut banyak memberi kesedaran kepada diri saya. Agaknya, rasa teruja pada diri lebih hebat daripada kanak-kanak yang duduk di belakang sana. Saya tertarik dengan keazaman Angkasawan yang telah menyimpan cita-citanya untuk tempoh 25 tahun. Saya juga tertarik dengan kata-katanya iaitu: "If you want to get something, never think of the failure". Kata-kata itu banyak membangkitkan semangat saya untuk berhadapan dengan cabaran dalam internship ini. Selain itu, saya juga ingin memetik kata-kata beliau iaitu: "I might die when i was in space. But, the number of dead body on earth is much larger than people died in space". Kenyataan itu mengingatkan saya tentang kesakitan, kepayahan, dan kematian itu ada di mana-mana. Jadi, kenapa perlu takut?

Kalau diikutkan banyak lagi yang ingin saya kongsikan di sini. Tapi buat masa sekarang panggilan kerja sudah melambai-lambai di atas meja. Cuma harapan saya, pelajarilah sebanyak mungkin selagi berpeluang. Jika seorang rakyat Malaysia boleh terapung dalam mikrograviti 100km tingginya dari aras laut, maksudnya tiada lagi kemustahilan di dunia ini. Salam perjuangan buat semua. Sekian.

Monday, March 16, 2009

Kembali Bersemangat!

Salam kepada semua pembaca blog kesayangan saya ini. Dengan blog inilah saya kongsikan banyak pengalaman pahit manis yang telah saya lalui selama ini.

Dalam nukilan blog kali ini, saya ingin berkongsi keseronokan dan semangat baru yang telah lahir dalam diri saya untuk menjalani internship yang kian hari kian mencabar ini. Terima kasih lagi saya ucapkan kepada semua yang banyak menyokong saya dengan memberi komen-komen yang membina dalam nukilan blog yang lepas.

Pada minggu lepas, minggu ke11 internship, barulah terasa semangat untuk melakukan yang terbaik dalam internship. Minggu lepas sahaja saya telah menjalankan 2 slot ceramah di IKM Kuching. Ceramah pertama adalah untuk pelajar bukan Muslim, sempena sambutan Maulidul Rasul peringkat IKM Kuching. Ceramah yang bertajuk Pengurusan Stress itu telah banyak mengingatkan saya sendiri tentang pengurusan stress yang betul. Apa yang penting, selepas memberi ceramah, saya sendiri telah menukar semua stress saya menjadi 'eustress', atau stress yang baik.

Pada Jumaat, 13 Mac pula, saya telah diamanahkan untuk mnyampaikan ceramah motivasi kepada para atlet kontinjen IKM Kuching. Dalam ceramah ini saya telah menyentuh beberapa aspek penyediaan diri dari sudut kognitif, fizikal, dan emosi sebelum berhadapan dengan sebarang cabaran. Alhamdulillah, intipati ceramah yang saya sampaikan seakan turut sama "menyindir" saya untuk melakukan yang terbaik ketika berhadapan dengan cabaran.

Hujung minggu yang lalu pun saya bertungkus lumus menjalankan aktiviti bimbingan. Saya dan 9 orang rakan intern yang lain telah mengadakan sesi motivasi di Sekolah Tunas Bakti, Kuching. Sekolah tersebut merupakan sekolah yang dibina khas untuk pesalah juvana. Sikap dan penerimaan pelajar di sana pada hari pertama sangat menyedihkan dan menyakitkan hati. Kenakalan mereka yang teramat sangat, begitu menggelodakkan hati kecil ini.

Alhamdulillah, pada hari kedua peserta dalam kumpulan saya sudah mula mempunyai rapport yang baik antara satu sama lain, termasuk saya. Mereka mula menghormati saya dan apa yang lebih mengharukan adalah apabila mereka memeluk saya dengan erat pada akhir program sebelum berpisah.

Keesokan harinya, iaitu pada 16 Mac 2009, saya telah diamanahkan untuk mengendalikan slot Aerobik, Hari Kesihatan IKM Kuching. Ramai tenaga pengajar di sini enggan menerima tanggungjawab mengendalikan semua pelajar sekali gus, seramai lebih 400 orang, apatah lagi dalam slot aerobik. Tapi, mengendalikan pelajar seramai 400 orang sekali gus itu bukanlah cabaran besar lagi jika dibandingkan dengan menguruskan 74 orang pelajar di Sekolah Tunas Bakti.

Kesimpulannya, perjalanan hidup saya pada minggu lepas banyak mendidik diri saya untuk terus bersedia dan beradapan dengan sebarang cabaran terutama dalam menyiapkan internship ini.

Terima kasih kepada semua sahabat dan pensyarah yang banyak menyokong diri ini, terutama Mama, walau pun bukan menyelia saya, namun sangat mengambil berat masalah yang saya alami. Terima kasih juga kepada Puan Fatahyah yang berkongsi lirik lagu kegemarannya. Benar kata kalian, semua yang terjadi ini banyak hikmahnya dan menjadikan saya lebih matang. Terima kasih sekali lagi dan doakan kejayaan internship saya.

Friday, March 6, 2009

Khas untuk kalian

Salam,

Kali ini dalam blog yang serba ringkas ini saya ingin mengutuskan satu nukilan, ikhlas dari hati nurani saya. Merujuk kepada kiriman blog saya yang lepas, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sesiapa jua yang telah memberi komen, respon, kritikan, dan peransang kepada saya untuk meneruskan internship ini.

Terima kasih Janice kerana telah melahirkan secebis motivasi dalam diri saya untuk berhadapan dengan cabaran berinternship. Janice adalah seorang sahabat yang memahami apa yang saya alami sekarang. Dengan membaca komen dari Janice, tak terasa air mata berlinang di pipi.

Terima kasih juga saya tujukan buat Puan Fatahyah yang kini berada jauh di perantauan. Puan telah banyak mendidik saya hingga saya boleh menangani apa jua masalah di hadapan walau pun berat. Dan untuk makluman Puan, berat badan saya kini pun bertambah semenjak internship. Semakin saya stress, semakin kuat saya makan.

Tidak dilupakan yang disayangi, Farah Dianti (PhaDee) yang sanggup bersama saya tak kira dalam apa keadaan sekali pun. Walau pun jauh di mata, namun rasanya seakan dia masih di sisi. Terima kasih kerana sanggup dan terus menyayangi diri ini.

Paling besar ucapan terima kasih saya utuskan untuk Prof. Madya Zuraidah (Mama) yang sanggup meluangkan masa membalas mesej saya walau pun saya bukanlah di bawah seliaannya. kata-kata daripada Mama ibarat kata-kata ibu yang mengobarkan semangat anaknya. Ketika saya bermesej dengan Mama pada tengahari Jumaat, 6 Mac 2009 yang lepas, saya sedang mengalami tekanan yang teramat. Perasaan ini berlaku setelah tuntutan jam kredit aktiviti bimbingan saya ditolak oleh penyelia. Pada masa itu hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui apa yang saya rasakan. Saya menjerit, meraung, dan menangis sekuat-kuatnya di dalam kereta pada tengahari itu. Ketika itu, saya memang berputus asa untuk meneruskan internship, kerana jam kredit untuk bimbingan saya sangat sedikit dan rasanya mustahil untuk saya capai kesemua jam kredit yang diperlukan.

Terdetik juga di hati untuk memecut kereta selajunya dan humbankan diri ke longkang di bahu jalan. Namun, pada waktu itu jalan sesak dengan kenderaan yang menghala ke masjid. Mungkin kesesakan itu ada hikmahnya. Dalam kesesakan itulah, saya terfikir untuk menghubungi Mama. Alhamdulillah, Mama telah memberi perangsang dan memulihkan semangat saya untuk terus berinternship.

Di sini, saya juga ingin berterima kasih kepada sesiapa jua yang mendoakan kejayaan internship saya. Saya doakan agar kalian terus sejahtera dengan apa yang dihadapi sekarang. Maaf terutama sekali kepada rakan semeja, Ira Fazeera jika tindakan saya telah menyinggung perasaan saudari. Maaf juga kepada rakan-rakan dan pensyarah sekiranya terdapat kesilapan diri sepanjang kita berurusan.

Saya hanya insan biasa, namun berusaha dengan luar biasa untuk mencapai impian yang hampir mustahil ini. Jika ditakdirkan saya gagal menghabiskan jamkredit ini, maka hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui apa yang bakal saya hadapi kelak. Saya tidak akan memalukan dan mengecewakan harapan mak dan arwah ayah dengan gagal bergraduat pada masa yang diperuntukkan. Doakan kesejahteraan saya. Sekian.

Sunday, March 1, 2009

Internship = Dugaan X Bebanan X Tekanan

Salam,

Saya pasti ramai yang merindui nukilan minda saya yang terkini. Maklumlah tengah sibuk berinternship (praktikal), tiada kesempatan untuk menulis blog ini. Namun kali ini saya gagahkan jua hati untuk menulis blog ini.

Saya ingin berkongsi dengan pembaca tersayang tentang Internship, yang sedang dilalui oleh hampir semua pelajar kaunseling tahun akhir UNIMAS kini. Internship merupakan satu bentuk latihan praktikal yang dijalankan oleh bakal kaunselor untuk menyediakan diri menjadi seorang kaunselor yang beretika, kompeten, dan berpengalaman luas sebelum menjejakkan kaki ke alam profesyen kaunseling yang sebenar.

Namun, dalam menjalani latihan internship ini, banyak dugaan yang dialami. Terlebih dahulu saya ingin memohon maaf kepada para pembaca sekiranya nukilan kali ini menyinggung perasaan beberapa pihak. Hari ini genaplah 2 bulan saya menjalani internship di sini. Sepatutnya pada waktu ini saya sudah mengumpul sekurang-kurangnya separuh daripada jam kredit yang diperuntukkan. Tetapi, hakikatnya kredit terkumpul sangat sedikit. Keadaan ini membuatkan saya memandang "Internship" ini sebagai satu aura yang negatif dalam hidup saya kini. Walau pun sering kali saya cuba mendidik kognitif saya untuk menilai Internship sebagai unsur positif yang berlaku ke atas saya, namun aura negatifnya sangat dominan.

Dugaan yang dialami sepanjang internship adalah ketika berhadapan dengan klien yang pelbagai karenah. Ada yang menghadapi masalah yang benar-benar serius dan ada juga yang dipaksa untuk menjadi klien atas sebab-sebab disiplin. Keadaan ini benar-benar menduga kreadibiliti saya sebagai kaunselor untuk menangani klien seumpama ini. Adakalanya ingin juga rasanya untuk ditinggalkan klien begitu sahaja kerana setiap hari telinga ini sarat mendengar masalah sahaja. Namun, masalah sendiri pun belum selesai lagi.

Perkara ini seterusnya menjadi bebanan apabila saya terpaksa memenuhi 600 jam kredit keseluruhan. 80 jam kredit untuk sesi kaunseling individu, bermakna saya perlu mendengar 80 masalah. 40 jam kredit untuk sesi kelompok, bermakna otak saya dibebani dengan 40 masalah yang didarab dengan 5 orang klien (200 masalah). 180 jam kredit untuk bimbingan, bermakna 180 kali saya menjadi "professor serba tahu". 300 jam kredit untuk pentadbiran, bermakna 300 jam saya menjadi kerani di pejabat ini.

Tekanan pula menyusul tiba apabila kebanyakan rangka kerja untuk aktiviti bimbingan ditolak dan tidak dibenarkan untuk dijalankan. Penolakkan ini berlaku daripada kedua-dua arah, UNIMAS-IKM. Adakalanya, UNIMAS bagi "green light", IKM bagi "red light", dan begitulah sebaliknya. Selain itu, banyak juga wang yang dihabiskan untuk persiapan internship. Apa yang lebih menyedihkan adalah apabila wang yang dikorbankan, terkorban dengan sia-sia lantaran cadangan program ditolak. Tekanan dengan pertindihan kerja juga dialami, iaitu pertindihan masa menjalankan sesi dengan masa melakukan pentadbiran yang dipaksa (cth: mesyuarat)

Sebagai kesimpulannya di sini saya ingin menyatakan tentang Internship yang saya alami kini. Kadang-kala saya merasakan diri sangat hipokrit dan hampir munafik kerana berlagak seakan bersedia untuk membimbing, sedangkan sebanarnya kini saya perlu menjadi klien yang mengalami tekanan emosi yang kritikal.

Justeru, kini saya mengambil pendekatan redha dengan apa yang dialami. Mungkin ini semua pengajaran kepada saya untuk menempuh hari mendatang. Saya harap pengalaman ini dapat mendewasakan saya. Walaupun pahit, namun ia tetap berharga. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini. Semoga Tuhan membalas jasa baik kalian.

Sekian.