Gambar Akhtiar; pemilik Ghuzheng sedang memperbaiki Ghuzhengnya.
Namun, perkara ini tidak mematahkan semangat kami. Setibanya kami di UTM, kami telah dilayan dengan baik. Walau bagaimanapun, sistem penganjuran di sana agak tidak profesional. Sistem pengangkutan yang membawa kami dari kolej kediaman ke Dewan Sultan Iskandar, tempat berlangsungnya pertandingan sangat rigid. Kami perlu menghabiskan banyak masa untuk menunggu bas kerana hanya seorang pemandu bas sahaja disediakan dalam program ini. Maklumlah, kebanyakan universiti dari semenanjung membawa bas masing-masing. Akibatnya, kami dan peserta dari UMS menjadi mangsa karenah pengurusan yang lemah ini.
Selaku ketua pasukan, seringkali saya merasionalkan ahli kumpulan agar mereka tidak patah semangat dan mensia-siakan usaha kami berlatih berbulan lamanya. Akhirnya, tibalah hari yang dinantikan. Kami menduduki saringan pertama pada jam 3 pm di DSI pada 2 Disember. Saingan pada petang itu agak hambar, kerana tidak banyak pasukan favourite yang menyertai saringan pertama. Hanya Unimas dan UKM dianggap pasukan senior yang berpengalaman bertanding di peringkat universiti yang ada pada petang tersebut. Pada malamnya pula, saringan kedua dilangsungkan. Saingan pada malam itu, subhanallah.. amat sengit.
Alhamdulillah, rezeki memihak kepada kami. Pasukan Damy merupakan pasukan pertama yang diisytiharkan layak ke peringkat akhir. Terdapat 7 lagi kumpulan yang layak iaitu dari UniMAP, juara bertahan UPM, UKM, UDM, UiTM, UPSI, dan tuan rumah UTM. Peringkat akhir lebih mencabar kerana diadakan di khalayak awam. Kami bakal berentap di ruang legar Plaza Angsana, JB, di hadapan khalayak yang bebas berkeliaran. Cabaran utama adalah untuk memaku pengunjung yang sedang bersiar-siar untuk menyaksikan persembahan kami.Kami memegang undi ke-2 untuk pertandingan akhir. Peserta pertama pada petang itu adalah UKM. Persembahan mereka sangat mantap dengan menggabungkan muzik minus one dan purcussion. Kami juga tidak mengalah dengan persembahan yang klise. Kami telah melakukan banyak gimik yang alhamdulillah telah berjaya memaku pengunjung ketika itu. Perasaan gementra bertukar menjadi teruja setelah melihat sambutan para penonton yang sangat memberangsangkan.
Setelah selesai semua peserta mempamerkan bakat mereka, tibalah waktunya keputusan diumumkan. Kami telah memperoleh Anugerah Seri Perdana untuk persembahan yang memungut markah melebihi 80. Kami ingin mempertaruhkan lagu kami bagi anugerah lagu dan lirik terbaik. Namun, rezeki memihak kepada UPM. Dan johan bagi pertandingan ini jatuh ke tangan Kumpulan Nahwan Nur dari UPM. Kami hanya berjaya memungut Anugerah Kumpulan Harapan 1 yang bermaksud kedudukan keempat.
Itulah rezeki kami dan itulah harga bagi perjuangan kami di mata hakim. Namun segalanya ada hikmahnya. Selepas menyertai pertandingan itu, kami sekumpulan berasa seperti adik-beradik. Hubungan kami semua menjadi lebih rapat. Beberapa pengajaran telah saya peroleh dan ingin dikongsikan di sini.
Pertama...
Lakukanlah yang terbaik, kerana bukan hasilnya yang kita harapkan, namun kepuasan daripada apa yang kita lakukan lebih penting. Konsep riak juga meliputi perbuatan yang tidak bersungguh-sungguh, sedangkan mampu melakukan yang terbaik.
Kedua...
Tak kira di mana pun kita berada, hendaklah berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek. Kelemahan penganjuran UTM, seperti mutu sistem bunyi yang teruk ketika final, tidak melemahkan semangat kami, sebaliknya memberi kami semangat dan kesempatan untuk menjadi lebih kreatif dalam meneruskan niat kami.
Ketiga...
Dalam apa jua yang kita lakukan, lakukanlah kerana Yang Maha Esa. Tak kiralah apa agama sekalipun, sekiranya kita melakukan perkara dengan bersungguh-sungguh kerana-Nya, InsyaAllah akan mendapat rahmat dari-Nya.
Terima Kasih... Da'My