Monday, December 8, 2008

Harapan untuk Damy

Salam...

Kali ini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang kisah perjalanan kami (kumpulan nasyid Damy) dalam menyertai pertandingan nasyid antara universiti di UTM Johor. Sebelum terlupa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang setia mengikuti perkembangan blog ini. Saya juga ingin mengajak anda untuk bertafakur seketika demi mengingati tragedi runtuhan banglo di Bukit Antarabangsa. Moga kejadian ini memberi iktibar kepada semua umat manusia. Al-Fatihah...
Baiklah, tanggal 1 desember 2008, kami telah bergerak meninggalkan Unimas dengan menaiki van Unimas ke KIA. Sebelum itu, kami telah diberi kemudahan oleh pihak kolej Cempaka untuk menetap di sana selama seminggu bagi tujuan latihan intensif sebelum bertanding. Penerbangan kami ke Senai, Johor akan berangkat pada jam 8.30am. Dengan iringan doa dan usaha yang telah disiapkan berbulan lamanya, kami pun berangkat ke Senai menaiki penerbangan AirAsia AK 5842 (kalau tak silap).


Setibanya di sana, kami disambut oleh 3 orang urusetia UTM. Nak dijadikan cerita, sejenis alat muzik milik peribadi ahli kumpulan kami, "Ghuzheng" telah rosak teruk setelah dimasukkan di dalam ruang kargo pesawat. Perkara ini telah sedikit menjatuhkan semangat ahli Damy untuk meneruskan perjuangan di UTM. Maklumlah, alat muzik itu merupakan alat utama yang harus kkami mainkan dalam persembahan. Tambahan pula, Ghuzheng tersebut sudah menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan kami. Walaupun harganya mencecah rm1000, namun nilai sentimentalnya kepada kumpulan kami sangat tidak ternilai. Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila pihak AirAsia enggan bertanggungjawab atas kerosakan yang berlaku ke atas Ghuzheng tersebut. Sedangkan alat tersebut telah dilekatkan tanda "Mudah Pecah", namun kendalian mereka ke atas alat tersebut sangat mendukacitakan. Kami melihat sendiri pekerja yang memunggah alat tersebut menendang Ghuzheng untuk mengeluarkannya dari kargo pesawat.


Gambar Akhtiar; pemilik Ghuzheng sedang memperbaiki Ghuzhengnya.

Namun, perkara ini tidak mematahkan semangat kami. Setibanya kami di UTM, kami telah dilayan dengan baik. Walau bagaimanapun, sistem penganjuran di sana agak tidak profesional. Sistem pengangkutan yang membawa kami dari kolej kediaman ke Dewan Sultan Iskandar, tempat berlangsungnya pertandingan sangat rigid. Kami perlu menghabiskan banyak masa untuk menunggu bas kerana hanya seorang pemandu bas sahaja disediakan dalam program ini. Maklumlah, kebanyakan universiti dari semenanjung membawa bas masing-masing. Akibatnya, kami dan peserta dari UMS menjadi mangsa karenah pengurusan yang lemah ini.


Selaku ketua pasukan, seringkali saya merasionalkan ahli kumpulan agar mereka tidak patah semangat dan mensia-siakan usaha kami berlatih berbulan lamanya. Akhirnya, tibalah hari yang dinantikan. Kami menduduki saringan pertama pada jam 3 pm di DSI pada 2 Disember. Saingan pada petang itu agak hambar, kerana tidak banyak pasukan favourite yang menyertai saringan pertama. Hanya Unimas dan UKM dianggap pasukan senior yang berpengalaman bertanding di peringkat universiti yang ada pada petang tersebut. Pada malamnya pula, saringan kedua dilangsungkan. Saingan pada malam itu, subhanallah.. amat sengit.

Alhamdulillah, rezeki memihak kepada kami. Pasukan Damy merupakan pasukan pertama yang diisytiharkan layak ke peringkat akhir. Terdapat 7 lagi kumpulan yang layak iaitu dari UniMAP, juara bertahan UPM, UKM, UDM, UiTM, UPSI, dan tuan rumah UTM. Peringkat akhir lebih mencabar kerana diadakan di khalayak awam. Kami bakal berentap di ruang legar Plaza Angsana, JB, di hadapan khalayak yang bebas berkeliaran. Cabaran utama adalah untuk memaku pengunjung yang sedang bersiar-siar untuk menyaksikan persembahan kami.


Kami memegang undi ke-2 untuk pertandingan akhir. Peserta pertama pada petang itu adalah UKM. Persembahan mereka sangat mantap dengan menggabungkan muzik minus one dan purcussion. Kami juga tidak mengalah dengan persembahan yang klise. Kami telah melakukan banyak gimik yang alhamdulillah telah berjaya memaku pengunjung ketika itu. Perasaan gementra bertukar menjadi teruja setelah melihat sambutan para penonton yang sangat memberangsangkan.

Setelah selesai semua peserta mempamerkan bakat mereka, tibalah waktunya keputusan diumumkan. Kami telah memperoleh Anugerah Seri Perdana untuk persembahan yang memungut markah melebihi 80. Kami ingin mempertaruhkan lagu kami bagi anugerah lagu dan lirik terbaik. Namun, rezeki memihak kepada UPM. Dan johan bagi pertandingan ini jatuh ke tangan Kumpulan Nahwan Nur dari UPM. Kami hanya berjaya memungut Anugerah Kumpulan Harapan 1 yang bermaksud kedudukan keempat.


Itulah rezeki kami dan itulah harga bagi perjuangan kami di mata hakim. Namun segalanya ada hikmahnya. Selepas menyertai pertandingan itu, kami sekumpulan berasa seperti adik-beradik. Hubungan kami semua menjadi lebih rapat. Beberapa pengajaran telah saya peroleh dan ingin dikongsikan di sini.

Pertama...

Lakukanlah yang terbaik, kerana bukan hasilnya yang kita harapkan, namun kepuasan daripada apa yang kita lakukan lebih penting. Konsep riak juga meliputi perbuatan yang tidak bersungguh-sungguh, sedangkan mampu melakukan yang terbaik.

Kedua...

Tak kira di mana pun kita berada, hendaklah berusaha untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekeliling. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek. Kelemahan penganjuran UTM, seperti mutu sistem bunyi yang teruk ketika final, tidak melemahkan semangat kami, sebaliknya memberi kami semangat dan kesempatan untuk menjadi lebih kreatif dalam meneruskan niat kami.

Ketiga...

Dalam apa jua yang kita lakukan, lakukanlah kerana Yang Maha Esa. Tak kiralah apa agama sekalipun, sekiranya kita melakukan perkara dengan bersungguh-sungguh kerana-Nya, InsyaAllah akan mendapat rahmat dari-Nya.

Terima Kasih... Da'My





3 comments:

Darin Azri said...

its ok .. hehhe. kmk doakan yang terbaik to all of u when u werethere..

Dosz said...

Congrats! Just bukan nasib jak... next time amek no1! :)

Richie said...

aku tetap bersetuju ngn kau sam..apa yang berlaku benar2 mengajar kita erti perjuangan sebagai ahli nasyid. aku syukur kita semua dah mcm ahli keluarga bena2.. aku sukakan kenangan kita masa di UTM..walaupun kejap p amat bermakna..