Tuesday, May 26, 2009

CINTA

Salam penuh rasa cinta buat semua pembaca blog ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca setia blog ini. 23 hingga 26 mei lepas saya telah bercuti di Shah Alam. Terharu dibuatnya tatkala mengetahui terdapat pembaca yang tidak pernah saya kenali telah membaca blog nukilan khas untuk kalian ini. Terima kasih sekali lagi dan saya harap kalian mendapat serba sedikit motivasi dan ilmu setelah membaca setiap nukilan blog saya.

Sebagai wadah minda dan santapan ilmu, kali ini saya ingin berkongsi bersama kalian tentang satu kalimah yang sering didengari sejak azali lagi, iaitu CINTA. Kisah cinta saya dengan bakal suri hidupku (InsyaAllah) bermula dari tahun 2005. Kami rakan sekuliah. Sebagai rakan kaunselor, kami sering melihat sesuatu tentang diri masing-masing sebagai satu keunikan. Bagi saya, dia seorang yang sangat unik dan tidak akan ada yang lain dapat mengganti tempatnya.

Beliau berasal dari Shah Alam, Selangor. Sejak berakhirnya semester 7 di UNIMAS, kami sangat susah untuk berjumpa. Hanya paparan sms dan nukilan blog ini sebagai saluran yang menyampaikan khabar di antara kami. Mungkin disebabkan jurang geografi, demografi, dan ekonomi kami yang berbeza, hubungan kami agak terhalang. Keluarganya tidak mengizinkannya untuk ke Sarawak lagi. Keluarga saya pula seakan tidak mahu saya meninggalkan mereka.

Inilah cabaran yang saya percaya menjadikan hubungan kami lebih mahal. Terus terang, saya memang amat mencintai dirinya. Dalam semester ini, sepanjang menjalani internship hingga tamat berinternship, saya telah mengorbankan lebih kurang RM2000.00 hanya semata-mata untuk dapat melihat wajahnya dan bersama dengannya. Kalau diikutkan, dengan pinjaman PTPTN yang saya peroleh, memang hampir kesemuanya dihabiskan untuk si dia.

Sebelum ini, kami telah bersama menuntut di UNIMAS selama 3 tahun sebelum kami dipisahkan atas tujuan internship. Selama itu, susah senang kami tetap bersama. Semua halangan kami selesaikan bersama. Dialah inspirasi saya untuk meneruskan hidup dengan lebih baik. Kami selalu berjanji bahawa "Dialah tangan kiri saya, dan sayalah tangan kanannya".

"Bagaimana kalau kami ditakdirkan untuk tidak bersama?"
Walaupun pedih untuk menjawab soalan itu, namun saya cuba gagahkan diri untuk menjawabnya. Saya ingin petik kata-kata Encik Razali (bekas Ketua Jabatan Kaunseling); "Bercinta tidak bermakna bersama". Cinta itu satu pengorbanan. Saya sanggup korbankan kebahagiaan diri hanya untuk melihat dirinya bahagia. Itulah kalimah yang saya jadikan azimat dalam setiap apa yang saya lakukan untukknya. Jika ditakdirkan hubungan kami terlarang, dan sebabnya adalah untuk kebahagiaan dan kebaikannya, saya rela. Kerana mungkin saya bukanlah yang terbaik untuknya.

Saya harap dirinya membaca nukilan kali ini. Ingin saya berpesan kepada semua pembaca dan sahabat; hargailah setiap yang kita miliki. Berilah segala yang terdaya. Kerana bagi saya CINTA adalah "Give and give", dan bukannya "Give and take". Saya gembira melihat dirinya bahagia dengan apa yang telah saya berikan.

Untuk dirinya: "Cayang, temek cayang kitak busha nang ada! Busha baby paush!!!" Hehehe. Maksudnya: (tak boleh bagi tau sebab itu bahasa kami). Sekian...

Tuesday, May 5, 2009

DETIK MAHAL...

Salam kepada para sahabat yang setia berkongsi ilmu melalui blog ini.

Kali ini saya ingin kongsikan dengan para pembaca tentang pengalaman yang sangat berharga dalam hidup ini. Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada warga pendidik di Jabatan Kaunseling UNIMAS kerana telah berjaya keluar dengan idea untuk mewujudkan kursus Intrernship ini.

Seperti yang kalian sedia maklum, saya telah menjalankan latihan Internship di IKM Kuching sejak dari 30 Disember 2008 yang lalu. Masih segar diingatan kali pertama menjejakkan kaki di pintu Pejabat Hal Ehwal Pelajar IKM, ketika hujan lebat mencurah di bumi. Ketika itu, jam tepat menunjukkan 7.50 pagi.

Setelah mendaftar diri sebagai pekerja baru, saya telah diperkenalkan dengan Puan Diana Spencer. Beliau bertanggungjawab dalam menguruskan pendaftaran pelajar baru pada Minggu Silaturrahim pelajar. Tugas pertama saya di IKM adalah menjaga kaunter pendaftaran pelajar baru untuk kursus Sijil Teknologi Maritim (STMR). Sepanjang hari saya duduk di dewan, ditemani Encik Aziz, Pensyarah untuk kursus STMR, dan beliau lah rakan sekerja pertama saya di sini.

Setelah itu, saya dan Ira menyertai Minggu Silaturrahim IKM sebagai fasilitator. Ketika itu, saya menghadapi kejutan budaya yang agak serius memandangkan pelaksanaan LDK dan aktiviti di sini sangat berlainan dengan yang telah dipelajari di UNIMAS. Sepanjang MSR itu jugalah saya mula mendapat beberapa rakan kerja yang baru seperti Encik Yusri, En Hamdan (kini berpindah ke MRSM), dan Encik Khairul (STRP).

Setelah itu, banyak lagi aktiviti dan program lain yang diikuti seperti pameran promosi IKM di Plaza Astana, Wisma Satok, Dewan Suarah Kuching, dan Kem PLKN Bau. Pengalaman membuat promosi ini sangat berharga dan saya pasti rakan intern lain tidak berkesempatan membuat promosi dan berdepan dengan masyarakat awam seperti ini dan dalam tempoh yang panjang. Pengalaman ini juga menjadikan saya lebih matang dan yakin dalam menghadapi masyarakat yang berbilang kaum dan pegangan.

Sebuah lagi pengalaman yang tidak saya lupakan sepanjang menjalani Internship adalah menghantar rombongan pelajar IKM ke program kenegaraan di Klambulang Cave Camp, Bako. Agak pelik, kerana saya terpaksa mendaki bukit yang dikelilingi hutan Bako dalam waktu pejabat dan menggunakan pakaian formal lengkap. Tapi, berjaya juga saya harungi.

Pengalaman sesat ketika menuruni Gunung Santubong juga sangat berharga kerana pada waktu itu, rakan-rakan sangat mengambil berat dan sanggup menemani saya ketika saya mengalami kecederaan. Walau ketika itu kami sedang sesat, namun tidak seorang pun daripada kami yang menyalahkan satu sama lain. Hanya yang wujud di akal ketika itu adalah bagaimana untuk keluar daripada hutan tersebut.

Langit tak selalu cerah. Begitulah juga apa yang saya alami sepanjang menjalani latihan Internship ini. Pernah beberapa kali saya ingin mengalah dengan bebanan tugas yang terpaksa dipikul. Saya ingin menarik diri daripada Internship dan membiarkan Encik Edris menggagalkan sahaja gred Internship saya. Dan, pernah satu ketika dalam penerbangan balik dari Kuala Lumpur, saya berharap agar pesawat yang dinaiki terhumban sahaj ke laut, asalkan saya tidak perlu datang ke pejabat ini lagi. Subhanallah... Betapa tidak rasionalnya saya ketika itu. Terima kasih kepada Mama, Puan Jamayah, Puan Fa, Puan Salmah, Encik Edris, Phadee, Ira, Hazrul, dan semua yang menyokong saya ketika saya lemas ditelan siksaan Internship.

Segala kenangan pahit dan manis itu kini saya simpan sebaiknya sebagai satu senjata untuk saya mengharungi hari mendatang. Lebih-lebih lagi, ketika sudah bekerja kelak. Banyak sangat ilmu yang saya pelajari daripada Penyelaras Agensi, Encik Sofian. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepadanya.

Encik Sofian seorang yang "out-spoken" dan berani bersuara. Saya menghormatinya kerana beliau sangat menyanjung tinggi nilai hidup yang dipegang. Mungkin saya ingin berkongsi kisah Encik Sofian dalam nukilan yang lain.

Terima kasih juga kepada pihak IKM, terutama Encik Mahazani kerana memberi saya ruang dan kesempatan utnuk merasai pengalaman berharga ini. Terima kasih semua warga IKM. Sama ada secara langsung atau tidak, bantuan dan sokongan anda sepanjang saya berkhidmat di sini amat saya sanjungi.

Jika diberi peluang untuk mengulangi detik di IKM ini, saya pasti akan menolaknya. Bukan kerana saya tidak selesa di IKM, tapi kerana detik di IKM ini sangat mahal dan bukan mudah untuk diulangi dan diganti. Hanya jauhari mengenal manikam. Sekian...