Tuesday, January 13, 2009

RENUNGAN. Siri 1

Salam bimbingan,



Apa khabar semua peminat setia blog ini? Terima kasih kerana terus sudi meluangkan masa berharga anda untuk membaca nukilan blog ini. Bagaimana hari anda? Ceria? Dihujani dengan senyuman dan gelak ketawa? Ok, sebut tentang ketawa, hari ini saya ingin ajak para pembaca untuk merenung sejenak tentang ketawa.



Ketawa merupakan perbuatan yang terjadi secara sengaja atau tidak sengaja akibat tindak balas otak terhadap sesuatu yang melucukan diterima melalui deria kita (dengar, lihat, atau sentuh). Perbuatan ketawa sangat sinonim dengan kehidupan manusia. Pelbagai emosi boleh digambarkan melalui perbuatan ketawa. Misalnya, seorang ibu akan berusaha sepenuh hati untuk memastikan bayinya ketawa. Selain itu, ketawa juga boleh memalukan orang lain yang diketawakan.



Ekoran eratnya pengaruh perbuatan ketawa dengan kehidupan manusia, pelbagai kata penguat ditambah untuk menggambarkan tahap dan situasi perbuatan tersebut. Jadi, di sini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang maksud peribahasa berkaitan ketawa berikut:



1. Ketawa terbahak-bahak:

Ketawa terbahak-bahak membawa maksud perbuatan ketawa yang kuat. Adapun perbuatan ketawa ini juga bererti ketawa sehingga mengeluarkan bunyi "bahak! bahak! bahak!" dan diekori dengan batuk kecil di hujung ketawa tersebut. Perbuatan ini sesuai dilakukan oleh mereka yang mengalami batuk kering. Ini kerana ketawa terbahak-bahak juga boleh mengeluarkan kahak-kahak dan menjadi "ketawa terkahak-kahak".



2. Ketawa berdekah-dekah:

Perbuatan ini merupakan perbuatan yang baik dan dituntut. Hal ini kerana perbuatan ini mulia di sisi masyarakat. Senyuman merupakan satu sedekah. Sekiranya kita senyum, walaupun kita senyum untuk berjam-jam lamanya, ia tetap dikira sebagai satu sedekah. Namun, apabila kita ketawa, sedekah kita akan dilipat gandakan menjadi "berdekah-dekah". sebab itulah ketawa berdekah-dekah ini dituntut oleh masyarakat kita.



3. Ketawa dalam Budaya Sarawak:

Di Sarawak, ketawa bukanlah satu perbuatan yang baik untuk dilakukan. Perbuatan ketawa di Sarawak dianggap boleh mendatangkan bahaya kepada orang yang ketawa serta mereka yang ditertawakan. Istilah ketawa di Sarawak disebut sebagai "tetak". Orang Sarawak tidak dibenarkan ketawa berlebihan kerana bimbang boleh mendatangkan maut. Hal ini kerana terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa orang Sarawak yang ketawa boleh membunuh orang lain. Misalnya, dalam rancangan 999, banyak kali dipaparkan kes "tetak sampai mati". Oleh itu, orang Sarawak tidak dibenarkan "tetak" berlebihan kerana bimbang boleh membunuh.

4. Kautowa

Kautowa pula perbuatan yang lebih unik daripada ketawa biasa. Orang yang "Kautowa" biasanya akan ditertawakan oleh orang lain. Di China, perbuatan ini sering kali disebut sebagai "wo me kau to wa" atau Kautowa.

5. Ketawa sendiri

Ketawa sendiri memang mudah dilakukan. Tetapi, jarang kita melihat rakan atau saudara mara kita yang akan ketawa sendiri secara tiba2. Perbuatan ini sebenarnya menunjukkan bahawa anda sedang bahagia. Selain itu, perbuatan ini juga boleh mewujudkan rumah tangga yang bahagia. Hal ini kerana, orang yang banyak ketawa sendiri akan dihantar ke rumah bahagia. Bukankah ini kebahagiaan yang kita idamkan selama ini?

Renung-renungkan dan selamat beramal!!!!

Monday, January 12, 2009

Humor...

Salam...

Apa khabar semua pembaca setia blog kesayanganku ini? Harap anda semua sihat dan bahagia bersama mereka yang tersayang. Alhamdulillah setelah 3 hari hujan tak reda, baru hari ni matahari cerah menyuluh bumi. Pergh... sungguh puitis. Baiklah hari yang cerah ni sesuai kalau kita ceriakan hati dengan senyuman. Jadi, di sini saya ingin kongsikan kepada semua pembaca beberapa tips yang boleh diambil untuk membuat humor. Tips ini sesuai untuk rakan-rakan kaunseling yang sedang berinternship.

Tips 1:
Pastikan niat kita ikhlas dan bukan hanya untuk menarik perhatian atau untuk mengambil hati boss kita di pejabat. Kerana kalau humor tak ikhlas, pendengar akan ketawa dengan penuh ketidakikhlasan. Perbuatan ini sangat membosankan dan boleh menjadikan orang lain menjauhi anda. Jadi, perbetulkan niat.

Tips 2:
Jangan merancang sesuatu humor terlalu lama. Hal ini menjadikan lawak yang dibuat tidak asli dan spontan.

Tips 3:
Pastikan mulut anda tidak berbau dan tiada cebisan cili atau sayur di celahan gigi. Hal ini menyebabkan pendengar ketawa kepada anda, dan bukan kepada lawak anda.

Tips 4:
Pastikan zip seluar anda tersemat rapi. Sekiranya zip seluar hanya tertutup separh, suku, tiga suku, atau terbuka terus, perkara ini boleh mendatangkan kesan lain terhadap lawak anda. Pertama, mungkin anda akan terus dikenali sebagai "mamat/minah seluar tak zip". Kedua, keadaan ini boleh juga menjadi satu bentuk gangguan seksual kepada pendengar anda.

Tips 5:
Sekiranya anda pengguna gigi palsu, pastikan gigi dilekatkan. Jika tidak anak buah anda akan selalu ketawakan anda. Oleh itu, lekatkan gigi palsu anda dengan kemas, supaya kini anda yang selalu ketawa besar dengan mereka.

Tips 6:
Jika ada rakan atau boss di pejabat yang serius, tetapi cara percakapannya mencuit hati anda, cuba picit hidung anda. Perbuatan memicit hidung boleh membantu anda daripada tergelak dengan kuat. Keadaan lubang hidung yang terbuka luas boleh menyebabkan anda tergelak. Kalau tak percaya, pergi hadapan cermin dan bukak hidung sebengap-bengapnya.

Tips 7:
Sekiranya anda dalam keadaan yang memerlukan anda ketawa, sedangkan perkara itu tidak menggelikan hati anda, sila beritahu rakan atau teman anda penyataan ini; " maaf saudara/saudari, lawak itu langsung tidak menggelikan hati saya." Kenyataan ini membantu anda untuk tidak akan bergelak ketawa dengan beliau lagi sampai bila-bila.

Tips 8:
Apabila anda membuat lawak, tetapi tidak mendapat respon yang sepatutnya daripada rakan anda, jangan bersedih. Kerana anda boleh mencuba lagi di lain waktu. sekali gagal bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya.

Tips 9:
Jika anda ketandusan akal untuk membuat jenaka, tontonlah rancangan lawak. Mungkin anda akan mendapat ilham daripada rancangan tersebut. Tapi, rancangan Raja Lawak bukanlah rancangan yang elok ditonton untuk mencari ilham. Ini kerana, jika anda banyak ketawa ilmu akan banyak hilang.

Tips 10:
Jangan sesekali jadikan rupa fizikal seseorang sebagai modal lawak anda. Perkara ini boleh mendatangkan dosa kerana mengaibkan kelemahan orang lain. Kalau anda benar-benar tiada modal lawak, ajak rakan/boss di pejabat anda menonton rancangan Wonderpet bersama-sama anda di TV9.

Ikutilah tips-tips ini dan jangan nakal-nakal... Jangan gelak banyak sangat kerana Rasulullah hanya ketawa sebanyak 3 harakat

Wednesday, January 7, 2009

Keluarga Tersayang

Bismillah...

Salam kepada semua pembaca yang masih setia melayari blog ini. Apa khabar semua? Saya harap semua berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Baiklah, kali ini saya ingin berkongsi kepada pembaca tentang kehidupan saya dalam keluarga. Mungkin ada yang bosan bila mendengar cerita tentang keluarga. Oleh itu, dalam blog ini saya ingin kongsikan tentang perspektif saya dari aspek emosi dan psikologi terhadap keluarga saya.

Saya dibesarkan dalam keluarga seorang anggota polis yang berpangkat Lans Kopral. Dibesarkan dalam keluarga yang berstatus ekonomi sederhana bukanlah penghalang untuk adik beradik saya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing. 2 orang kakak saya pemegang diploma dan saya sendiri bersama seorang lagi kakak bakal pemegang ijazah. Abang saya kurantg bernasib baik, kerana dari kecil gagal meneruskan persekolahan, tetapi kini sudah bekerja.

Perbezaan umur yang begitu jauh antara saya dengan adik beradik lain menyebabkan “chemistry” antara kami sangat unik. Semasa masih dalam alam kanak-kanak, saya kurang diberi peluang untuk bermain seperti kanak-kanak lain. Perkara ini sebenarnya membantutkan proses perkembangan psikologi saya. Menurut teori psikoanalisis, masalah yang berlaku semasa di alam kanak-kanak boleh mempengaruhi perwatakan saya ketika dewasa.

Ibu, bapa, serta adik beradik sebenarnya menyayangi satu sama lain. Tapi, bagi saya ahli keluarga saya bukanlah sempurna. Mereka, terutama mak dan bapak menyediakan apa yang kami minta semampunya. Begitu juga dengan adik beradik saya yang lain. Namun, kini, apa yang saya benar-benar harapkan daripada semua ahli keluarga adalah memahami perasaan saya. Bagi saya, kasih sayang bukan dinilai dari segi makan minum, pakaian, wang dan keperluan asas lain yang disediakan. Kasih sayang sebenarnya memerlukan sifat saling memahami.

Misalnya, emak saya memang seorang yang baik dan mudah mesra dengan rakan-rakan saya. Namun, acap kali gurauan emak atau adik beradik yang lain seakan menjatuhkan air muka saya. Mereka tidak sedar semua itu. Merendahkan anak sendiri di hadapan rakannya sangat menghiris perasaan saya. Namun, saya redha dan memaafkan perbuatan itu kerana saya tahu mereka tidak faham tentang konsep menghargai emosi seperti yang saya amalkan selaku kaunselor.

Kadang-kala saya berasa sedih kerana tiada tempat untuk mengadu masalah. Tidak seperti rakan lain, mereka boleh mengadu masalah dengan ahli keluarga dan mendapat semangat baru melalui keluarga. Dalam hidup saya, setiap kali saya menghadapi masalah, ahli keluarga saya akan meletakkan punca masalah itu di bahu saya. Perkara ini sebenarnya sangat mengecewakan dan pedih untuk diterima.

Justeru, saya berharap kepada semua pembaca agar menghargai perasaan dan keperluan orang lain, terutama keluarga sendiri. Layanlah orang lain seperti mana anda mahu dilayan. Saya doakan agar anda semua bahagia di sisi keluarga tersayang. Doakan juga kebahagiaan saya. Sekian...