Wednesday, July 8, 2009

Kerja...

Salam...

Hari ini dah masuk bulan yang ketiga selepas aku tamat berinternship. Maksudnya dah 3 bulan aku menganggur. 3 bulan aku duduk kat rumah, bergantung harap kepada pendapatan pencen arwah bapak yang tak seberapa.

Aku sedih dan kecewa sangat. Selama 4 tahun aku mampu membantu emak yang tidak bekerja dalam perbelanjaan keluarga. Selama 4 tahun itu juga aku belanjakan duit pinjaman PTPTN dengan sebaiknya agar emak tidak begitu terasa bebanan setelah kehilangan bapak.

Tapi hari ini, sudah 3 bulan aku bergantung harap kepada emak. Aku turut membantu emak dengan menggunakan simpanan ASB dan Tabung Haji. Tapi sekarang wang simpananku makin hari makin kering. Langsung tidak bertambah. Banyak tempat sudah ku usulkan resume, tapi tiada satu pun yang berbalas.

Aku sedih apabila ada diantara mereka di sekelilingku menyatakan aku terlalu memilih kerja. Ya, mungkin aku terlalu memilih kerja. Kerana bagiku kerja amat penting dan aku harus lakukan yang terbaik dariku agar mendapat gaji yang setimpal dengan usahaku. Lagi pun gaji yang aku cari memang aku peruntukkan untuk membayar balik hutang-hutangku terhadap emak.

Aku cemburu bila mengetahui hampir semua rakan sekelasku di UNIMAS kini sudah bekerja. Aku doakan kejayaan mereka dalam menempuh alam pekerjaan. Di sini, aku habiskan wang dan tenaga ku hanya untuk mencari dan memohon pekerjaan. Seringkali minda tak rasionalku berkata "kenapa mereka yang tidak membutuhkan kerja seperti aku boleh bekerja?" Kadang kala aku rasakan dunia ini tidak adil...

Tapi aku sedar bahawa itu semua hanyalah mainan pemikiran bodohku. Aku sedar bahawa semua ini mesti ada hikmahnya dan biarlah aku gagah dan belajar daripada masalah ini. Aku malu untuk menghadiri Konvokesyen tanpa berbekalkan kerjaya di belakangku. Aku malu kepada rakan, pensyarah, keluarga Phadee, keluarga ku, dan kepada diriku sendiri. Semua usahaku selama ini seakan tidak bermakna jika aku masih terus duduk menganggur di rumah.

Akhir sekali, maaf jika bahasa yang aku gunakan kali ini kasar. Kerana bagi aku blog adalah satu saluran luahan rasa. Biarlah blog ini tidak berkomen dan tidak dibaca. Kerana memang selama ini aku keseorangan... Sekian..