Sunday, March 21, 2010

My New Life

Salam bersua,

Alhamdulillah, setelah sekian lama blog ini menyepi, akhirnya kini muncul semula sebuah nukilan yang ingin saya kongsikan buat semua.

Masih ingat lagi nukilan terakhir saya berkaitan "Kerja"? Syukur kerana tidak berapa lama setelah nukilan tersebut diterbitkan, saya telah dilamar oleh sebuah IPTS tempatan untuk berkhidmat sebagai Kaunselor Pelajar merangkap Tutor. Tarikh keramat 3 Ogos 2009 merupakan tarikh daftar saya selaku warga kerja di UNIRAZAK Pusat Wilayah Sarawak.

Setelah kira-kira 7 bulan berkhidmat, saya akhirnya melucutkan jawatan ini atas sebab tawaran kerja yang lebih memerlukan perkhidmatan saya. InsyaAllah, tanggal 14 April 2010,saya akan melapor diri di Putrajaya sebagai Pegawai Psikologi Gred S41. Saya harap dengan kehadiran saya dalam perkhidmatan awam sedikit sebanyak mampu menyumbang dalam peningkatan prestasi dan kualiti modal insan negara.

Walau bagaimanapun, rezeki saya ada di sana. Saya berdoa juga agar UNIRAZAK P.W.S lebih cemerlang walau pun saya tidak lagi di sana. Sesungguhnya amat berat hati meninggalkan UNIRAZAK P.W.S kerana masih banyak lagi tanggungjawab yang belum saya laksanakan. Semoga bakal pengganti saya di sana boleh berkhidmat jauh lebih cemerlang daripada saya.

Persoalan yang sering hadir di minda adalah"Adakah saya cukup bersedia untuk transaksi kerjaya dalam hidup saya?".. Hakikatnya, hidup ini sangat objektif. Pilihan ada di mana-mana dan apa yang bakal berlaku nanti adalah atas pilihan saya sendiri, jua Tuhan sebagai penentunya.

Doakan kejayaan kerjaya baru saya. Semoga kita sukses bersama dalam apa jua perkara yang kita libati.

Sekian.

Wednesday, July 8, 2009

Kerja...

Salam...

Hari ini dah masuk bulan yang ketiga selepas aku tamat berinternship. Maksudnya dah 3 bulan aku menganggur. 3 bulan aku duduk kat rumah, bergantung harap kepada pendapatan pencen arwah bapak yang tak seberapa.

Aku sedih dan kecewa sangat. Selama 4 tahun aku mampu membantu emak yang tidak bekerja dalam perbelanjaan keluarga. Selama 4 tahun itu juga aku belanjakan duit pinjaman PTPTN dengan sebaiknya agar emak tidak begitu terasa bebanan setelah kehilangan bapak.

Tapi hari ini, sudah 3 bulan aku bergantung harap kepada emak. Aku turut membantu emak dengan menggunakan simpanan ASB dan Tabung Haji. Tapi sekarang wang simpananku makin hari makin kering. Langsung tidak bertambah. Banyak tempat sudah ku usulkan resume, tapi tiada satu pun yang berbalas.

Aku sedih apabila ada diantara mereka di sekelilingku menyatakan aku terlalu memilih kerja. Ya, mungkin aku terlalu memilih kerja. Kerana bagiku kerja amat penting dan aku harus lakukan yang terbaik dariku agar mendapat gaji yang setimpal dengan usahaku. Lagi pun gaji yang aku cari memang aku peruntukkan untuk membayar balik hutang-hutangku terhadap emak.

Aku cemburu bila mengetahui hampir semua rakan sekelasku di UNIMAS kini sudah bekerja. Aku doakan kejayaan mereka dalam menempuh alam pekerjaan. Di sini, aku habiskan wang dan tenaga ku hanya untuk mencari dan memohon pekerjaan. Seringkali minda tak rasionalku berkata "kenapa mereka yang tidak membutuhkan kerja seperti aku boleh bekerja?" Kadang kala aku rasakan dunia ini tidak adil...

Tapi aku sedar bahawa itu semua hanyalah mainan pemikiran bodohku. Aku sedar bahawa semua ini mesti ada hikmahnya dan biarlah aku gagah dan belajar daripada masalah ini. Aku malu untuk menghadiri Konvokesyen tanpa berbekalkan kerjaya di belakangku. Aku malu kepada rakan, pensyarah, keluarga Phadee, keluarga ku, dan kepada diriku sendiri. Semua usahaku selama ini seakan tidak bermakna jika aku masih terus duduk menganggur di rumah.

Akhir sekali, maaf jika bahasa yang aku gunakan kali ini kasar. Kerana bagi aku blog adalah satu saluran luahan rasa. Biarlah blog ini tidak berkomen dan tidak dibaca. Kerana memang selama ini aku keseorangan... Sekian..

Tuesday, May 26, 2009

CINTA

Salam penuh rasa cinta buat semua pembaca blog ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pembaca setia blog ini. 23 hingga 26 mei lepas saya telah bercuti di Shah Alam. Terharu dibuatnya tatkala mengetahui terdapat pembaca yang tidak pernah saya kenali telah membaca blog nukilan khas untuk kalian ini. Terima kasih sekali lagi dan saya harap kalian mendapat serba sedikit motivasi dan ilmu setelah membaca setiap nukilan blog saya.

Sebagai wadah minda dan santapan ilmu, kali ini saya ingin berkongsi bersama kalian tentang satu kalimah yang sering didengari sejak azali lagi, iaitu CINTA. Kisah cinta saya dengan bakal suri hidupku (InsyaAllah) bermula dari tahun 2005. Kami rakan sekuliah. Sebagai rakan kaunselor, kami sering melihat sesuatu tentang diri masing-masing sebagai satu keunikan. Bagi saya, dia seorang yang sangat unik dan tidak akan ada yang lain dapat mengganti tempatnya.

Beliau berasal dari Shah Alam, Selangor. Sejak berakhirnya semester 7 di UNIMAS, kami sangat susah untuk berjumpa. Hanya paparan sms dan nukilan blog ini sebagai saluran yang menyampaikan khabar di antara kami. Mungkin disebabkan jurang geografi, demografi, dan ekonomi kami yang berbeza, hubungan kami agak terhalang. Keluarganya tidak mengizinkannya untuk ke Sarawak lagi. Keluarga saya pula seakan tidak mahu saya meninggalkan mereka.

Inilah cabaran yang saya percaya menjadikan hubungan kami lebih mahal. Terus terang, saya memang amat mencintai dirinya. Dalam semester ini, sepanjang menjalani internship hingga tamat berinternship, saya telah mengorbankan lebih kurang RM2000.00 hanya semata-mata untuk dapat melihat wajahnya dan bersama dengannya. Kalau diikutkan, dengan pinjaman PTPTN yang saya peroleh, memang hampir kesemuanya dihabiskan untuk si dia.

Sebelum ini, kami telah bersama menuntut di UNIMAS selama 3 tahun sebelum kami dipisahkan atas tujuan internship. Selama itu, susah senang kami tetap bersama. Semua halangan kami selesaikan bersama. Dialah inspirasi saya untuk meneruskan hidup dengan lebih baik. Kami selalu berjanji bahawa "Dialah tangan kiri saya, dan sayalah tangan kanannya".

"Bagaimana kalau kami ditakdirkan untuk tidak bersama?"
Walaupun pedih untuk menjawab soalan itu, namun saya cuba gagahkan diri untuk menjawabnya. Saya ingin petik kata-kata Encik Razali (bekas Ketua Jabatan Kaunseling); "Bercinta tidak bermakna bersama". Cinta itu satu pengorbanan. Saya sanggup korbankan kebahagiaan diri hanya untuk melihat dirinya bahagia. Itulah kalimah yang saya jadikan azimat dalam setiap apa yang saya lakukan untukknya. Jika ditakdirkan hubungan kami terlarang, dan sebabnya adalah untuk kebahagiaan dan kebaikannya, saya rela. Kerana mungkin saya bukanlah yang terbaik untuknya.

Saya harap dirinya membaca nukilan kali ini. Ingin saya berpesan kepada semua pembaca dan sahabat; hargailah setiap yang kita miliki. Berilah segala yang terdaya. Kerana bagi saya CINTA adalah "Give and give", dan bukannya "Give and take". Saya gembira melihat dirinya bahagia dengan apa yang telah saya berikan.

Untuk dirinya: "Cayang, temek cayang kitak busha nang ada! Busha baby paush!!!" Hehehe. Maksudnya: (tak boleh bagi tau sebab itu bahasa kami). Sekian...

Tuesday, May 5, 2009

DETIK MAHAL...

Salam kepada para sahabat yang setia berkongsi ilmu melalui blog ini.

Kali ini saya ingin kongsikan dengan para pembaca tentang pengalaman yang sangat berharga dalam hidup ini. Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada warga pendidik di Jabatan Kaunseling UNIMAS kerana telah berjaya keluar dengan idea untuk mewujudkan kursus Intrernship ini.

Seperti yang kalian sedia maklum, saya telah menjalankan latihan Internship di IKM Kuching sejak dari 30 Disember 2008 yang lalu. Masih segar diingatan kali pertama menjejakkan kaki di pintu Pejabat Hal Ehwal Pelajar IKM, ketika hujan lebat mencurah di bumi. Ketika itu, jam tepat menunjukkan 7.50 pagi.

Setelah mendaftar diri sebagai pekerja baru, saya telah diperkenalkan dengan Puan Diana Spencer. Beliau bertanggungjawab dalam menguruskan pendaftaran pelajar baru pada Minggu Silaturrahim pelajar. Tugas pertama saya di IKM adalah menjaga kaunter pendaftaran pelajar baru untuk kursus Sijil Teknologi Maritim (STMR). Sepanjang hari saya duduk di dewan, ditemani Encik Aziz, Pensyarah untuk kursus STMR, dan beliau lah rakan sekerja pertama saya di sini.

Setelah itu, saya dan Ira menyertai Minggu Silaturrahim IKM sebagai fasilitator. Ketika itu, saya menghadapi kejutan budaya yang agak serius memandangkan pelaksanaan LDK dan aktiviti di sini sangat berlainan dengan yang telah dipelajari di UNIMAS. Sepanjang MSR itu jugalah saya mula mendapat beberapa rakan kerja yang baru seperti Encik Yusri, En Hamdan (kini berpindah ke MRSM), dan Encik Khairul (STRP).

Setelah itu, banyak lagi aktiviti dan program lain yang diikuti seperti pameran promosi IKM di Plaza Astana, Wisma Satok, Dewan Suarah Kuching, dan Kem PLKN Bau. Pengalaman membuat promosi ini sangat berharga dan saya pasti rakan intern lain tidak berkesempatan membuat promosi dan berdepan dengan masyarakat awam seperti ini dan dalam tempoh yang panjang. Pengalaman ini juga menjadikan saya lebih matang dan yakin dalam menghadapi masyarakat yang berbilang kaum dan pegangan.

Sebuah lagi pengalaman yang tidak saya lupakan sepanjang menjalani Internship adalah menghantar rombongan pelajar IKM ke program kenegaraan di Klambulang Cave Camp, Bako. Agak pelik, kerana saya terpaksa mendaki bukit yang dikelilingi hutan Bako dalam waktu pejabat dan menggunakan pakaian formal lengkap. Tapi, berjaya juga saya harungi.

Pengalaman sesat ketika menuruni Gunung Santubong juga sangat berharga kerana pada waktu itu, rakan-rakan sangat mengambil berat dan sanggup menemani saya ketika saya mengalami kecederaan. Walau ketika itu kami sedang sesat, namun tidak seorang pun daripada kami yang menyalahkan satu sama lain. Hanya yang wujud di akal ketika itu adalah bagaimana untuk keluar daripada hutan tersebut.

Langit tak selalu cerah. Begitulah juga apa yang saya alami sepanjang menjalani latihan Internship ini. Pernah beberapa kali saya ingin mengalah dengan bebanan tugas yang terpaksa dipikul. Saya ingin menarik diri daripada Internship dan membiarkan Encik Edris menggagalkan sahaja gred Internship saya. Dan, pernah satu ketika dalam penerbangan balik dari Kuala Lumpur, saya berharap agar pesawat yang dinaiki terhumban sahaj ke laut, asalkan saya tidak perlu datang ke pejabat ini lagi. Subhanallah... Betapa tidak rasionalnya saya ketika itu. Terima kasih kepada Mama, Puan Jamayah, Puan Fa, Puan Salmah, Encik Edris, Phadee, Ira, Hazrul, dan semua yang menyokong saya ketika saya lemas ditelan siksaan Internship.

Segala kenangan pahit dan manis itu kini saya simpan sebaiknya sebagai satu senjata untuk saya mengharungi hari mendatang. Lebih-lebih lagi, ketika sudah bekerja kelak. Banyak sangat ilmu yang saya pelajari daripada Penyelaras Agensi, Encik Sofian. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepadanya.

Encik Sofian seorang yang "out-spoken" dan berani bersuara. Saya menghormatinya kerana beliau sangat menyanjung tinggi nilai hidup yang dipegang. Mungkin saya ingin berkongsi kisah Encik Sofian dalam nukilan yang lain.

Terima kasih juga kepada pihak IKM, terutama Encik Mahazani kerana memberi saya ruang dan kesempatan utnuk merasai pengalaman berharga ini. Terima kasih semua warga IKM. Sama ada secara langsung atau tidak, bantuan dan sokongan anda sepanjang saya berkhidmat di sini amat saya sanjungi.

Jika diberi peluang untuk mengulangi detik di IKM ini, saya pasti akan menolaknya. Bukan kerana saya tidak selesa di IKM, tapi kerana detik di IKM ini sangat mahal dan bukan mudah untuk diulangi dan diganti. Hanya jauhari mengenal manikam. Sekian...

Thursday, April 23, 2009

DO IT!!!

Salam keceriaan...

Kali ini saya ingin berkongsi dengan para sahabat yang setia membaca blog ini tentang satu isu yang tak pernah lapuk dari azali lagi, iaitu DUIT (a.k.a. DO IT!!!). 22 dan 23 April 2009 yang lepas saya dan 2 orang lagi rakan intern telah dijemput oleh BAKA (Bahagian Agama dan Kaunseling PDRM) IPD Simunjan untuk menjalankan program bimbingan di sana.

Program bermula seawal jam 9.30 pagi. Memandangkan jarak dari Kuching ke Simunjan agak jauh dan mengambil masa 3 jam perjalanan, kami telah bergerak dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada jam 6.30 pagi. Sepanjang perjalanan, kami diiringi oleh 2 orang anggota polis berpangkat Sarjan dan Kopral. Pengalaman menaiki kenderaan Waja PDRM sangat menarik, mungkin saya boleh kongsikan dalam nukilan blog yang lain.

Setibanya di IPD Simunjan, kami memulakan program dengan pelaksanaan modul yang pertama iaitu Pengurusan Tekanan. Sepanjang menjalani modul tersebut, saya dan rakan mendapati bahawa kebanyakan daripada anggota yang menghadapi tekanan diakibatkan oleh kegagalan dalam pengurusan kewangan. Pendek kata, semuanya DUIT. Untuk itu, dalam slot seterusnya, kami menekankan tentang pengurusan kewangan.

Pada awalnya, belum timbul kesedaran di kalangan peserta tentang pentingnya slot tersebut dijalankan. Namun, setelah penerokaan pengalaman dan perasaan dijalankan, serta perkongsian di kalangan anggota berlaku, akhirnya semua anggota berpuas hati dengan slot yang dijalankan. Setelah meninggalkan bilik seminar tempat program dijalankan, saya mula berfikir tentang satu perkara. Betapa besarnya pengaruh DUIT ke atas kehidupan manusia, hingga manusia boleh diperhambakan oleh DUIT.

dI IPD Simunjan, saya terpaku melihat tahanan di lokap. Saya bertanya kepada anggota bertugas tentang kesalahan yang dilakukan oleh tahanan tersebut. Jawapannya cukup ringkas. "Dia pencuri". Mendengar jawapan itu, terdetik dek akal dengan satu persoalan: "apakah bezanya engkau (anggota polis tersebut) dengan dia (tahanan)?" .

Tahanan tersebut cuma bernasib malang kerana mengambil tindakan yang salah pada masa yang salah. Puncanya, DUIT. Mungkin juga polis yang menangkapnya pernah melakukan tindakan yang salah, tapi pada masa yang betul. Apapun kesalahan yang telah dilakukan, puncanya tetap DUIT. Setelah terfikir sejenak, saya pun menyatakan suara akal kepada anggota tersebut.

" Encik, pencuri ini ditahan kerana beliau gagal dalam pengurusan kewangan. Kalau encik sendiri pun gagal dalam pengurusan kewangan, tak ada bezalah antara encik dengan pencuri itu. Mungkin encik boleh mengambil tindakan yang lebih teruk daripada dia".

Anggota polis itu terdiam. Mungkin sedang memikirkan kata-kata itu, atau mungkin juga terasa hati dengan kata-kata yang telah saya suarakan. Apapun yang dirasainya, harapan saya adalah agar beliau berfikir tentang pentingnya pengurusan DUIT yang betul. Saya pun ingin mengajak para pembaca yang dikasihi untuk berfikir sejenak tentang peri pentingnya pengurusan DUIT dalam kehidupan harian kita.

Zaman ini, DUIT sangat berpengaruh. Dari sejak dilahirkan, hingga dikebumikan, manusia memerlukan DUIT. Untuk membuang air pun kita perlukan DUIT. kalau tidak diuruskan sebaiknya, DUIT boleh merosakkan kita. Tapi, jika digunakan dengan berhemah, DUIT boleh menjadi satu senjata yang sangat berbisa.

Saya harap wacana minda saya kali ini boleh dijadikan peringatan untuk diri saya dan juga para pembaca. Janganlah diperhambakan oleh DUIT. Untuk itu, mulakan perancangan kewangan yang berhemah dari sekarang. DO IT!

Monday, April 20, 2009

LAGU TERAPI

Salam...

Selamat menempuh kehidupan harian buat semua pembaca blog ini. Kali ini saya ingin kongsikan sebuah lagu yang saya sering nyanyikan ketika menghadapi tekanan dalam hidup. Al-kisah, lagu ini telah saya nyanyikan ketika memandu kereta kancil hijau kesayanganku. Ketika itu saya dalam perjalanan balik dari pejabat. Nak dijadikan cerita, minyak kereta hampir habis, terperangkap pula dalam kesesakan di simpang IKM. Hampir 1 jam terperangkap di sana. Sebelum itu, sewaktu di pejabat, kerja dan arahan silih berganti sehingga masa 9 jam bekerja ibarat 9 minit rasanya. Sepanjang terperangkap dalam kesesakan itulah saya seakan hilang sabar, sehingga meraung-raung menyanyikan lagu ini dan terus saya rekod menggunakan Sony Ericsson K310i kesayanganku.

Lagu ini hanya bertujuan sebagai satu medium untuk meluahkan perasaan dan “kegeraman” terhadap tekanan yang melanda. Anda bebas untuk memasukkan melodi anda sendiri, sama ada anda hendak menjerit, meraung, rapping, soul, rock, dan sebagainya. Selamat menyanyi!!!

*Lirik lagu ini mungkin tidak terapeutik dan agak tidak rasional kerana digubah sewaktu saya berasa tidak rasional*

TAJUK: UNTUK KEBERAPA KALI?

Hidup ini bagaikan satu pusingan
Yang kita tak pasti mula dan akhirnya
Suka dan duka kemungkinan yang melanda
Tak siapa pun bisa meneka
Tetapi bagi diriku kepedihan selalu menimpa

Cho:
Untuk keberapa kali
Harusku menempuh onak badai duri
Menyiksa diri
Untuk keberapa kali
Harusku meleraikan kemelut ini
Yang terus mencengkam hati

Kemunafikan, hipokrasi, dan tragedi
Berlaku setiap hari
Tak siapa peduli bagai mimpi ngeri
Tak ku harap kau mengerti luahan hati ku ini
Kau bukan aku, ku bukan dirimu
Bilakah masa bagiku kecapi bahagia?
Bahagia yang selama ini kuimpi...

Ulang Cho

Namun tak akan aku mengalah pada situasi ini
Ku yakin... Ku yakin masaku pasti kan tiba...

Ulang Cho

Mula Rindu Dah...

Salam semua...
Maaf kerana buat kalian rindu sangat nak baca nukilan mutakhir daripada diriku ini. Apa khabar? Saya doakan kalian sihat dan ceria di samping teman, keluarga, dan kerja tercinta.

Hari ini saya nak kongsikan perasaan yang saya alami kini, menjelang berakhirnya Internship. Astaghfirullah. Diam tak diam tinggal 2-3 minggu lagi nak habis internship. Bermacam perasaan bercampur baur yang saya alami kini.

Rasa teruja dan gembira kerana beban tugas hampir selesai. Rasa risau kerana bimbang jam kredit tidak sempat dilengkapi. Rasa sedih kerana akan meninggalkan pejabat yang serba indah ini, meninggalkan rakan-rakan sepejabat yang sangat mesra dan mudah membantu tanpa meminta balasan, dan meninggalkan alam pekerjaan ini. Rasa rindu kerana terpaksa meninggalkan alam mahasiswa yang penuh pengajaran. Seterusnya, rasa bingung kerana takut tidak mendapat kerja selepas ini. maklumlah, ramai siswazah yang menganggur saban tahun.

Apapun, internship ini memang banyak mendidik saya tentang apakah kaunseling yang sebenar. Apakah tanggungjawab kaunselor yang sebenar. Apakah budaya kehidupan masyarakat sebenar. Sebenarnya, banyak sangat perkara yang dipelajari dalam kuliah tidak saya fahami. Namun, setelah satu semester berinternship barulah saya faham leteran Mama, sindiran Puan Fa, dan pesanan setiap pensyarah.

Akhir kata, saya akan merindui saat ini. Tapi jika diberi peluang untuk berinternship semula, saya akan kata: TAK NAK!!!! Bak kata Mama: "read my lips - NOPE!!!" Hehehe...
Asalamualaikum