Tuesday, May 5, 2009

DETIK MAHAL...

Salam kepada para sahabat yang setia berkongsi ilmu melalui blog ini.

Kali ini saya ingin kongsikan dengan para pembaca tentang pengalaman yang sangat berharga dalam hidup ini. Alhamdulillah dan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada warga pendidik di Jabatan Kaunseling UNIMAS kerana telah berjaya keluar dengan idea untuk mewujudkan kursus Intrernship ini.

Seperti yang kalian sedia maklum, saya telah menjalankan latihan Internship di IKM Kuching sejak dari 30 Disember 2008 yang lalu. Masih segar diingatan kali pertama menjejakkan kaki di pintu Pejabat Hal Ehwal Pelajar IKM, ketika hujan lebat mencurah di bumi. Ketika itu, jam tepat menunjukkan 7.50 pagi.

Setelah mendaftar diri sebagai pekerja baru, saya telah diperkenalkan dengan Puan Diana Spencer. Beliau bertanggungjawab dalam menguruskan pendaftaran pelajar baru pada Minggu Silaturrahim pelajar. Tugas pertama saya di IKM adalah menjaga kaunter pendaftaran pelajar baru untuk kursus Sijil Teknologi Maritim (STMR). Sepanjang hari saya duduk di dewan, ditemani Encik Aziz, Pensyarah untuk kursus STMR, dan beliau lah rakan sekerja pertama saya di sini.

Setelah itu, saya dan Ira menyertai Minggu Silaturrahim IKM sebagai fasilitator. Ketika itu, saya menghadapi kejutan budaya yang agak serius memandangkan pelaksanaan LDK dan aktiviti di sini sangat berlainan dengan yang telah dipelajari di UNIMAS. Sepanjang MSR itu jugalah saya mula mendapat beberapa rakan kerja yang baru seperti Encik Yusri, En Hamdan (kini berpindah ke MRSM), dan Encik Khairul (STRP).

Setelah itu, banyak lagi aktiviti dan program lain yang diikuti seperti pameran promosi IKM di Plaza Astana, Wisma Satok, Dewan Suarah Kuching, dan Kem PLKN Bau. Pengalaman membuat promosi ini sangat berharga dan saya pasti rakan intern lain tidak berkesempatan membuat promosi dan berdepan dengan masyarakat awam seperti ini dan dalam tempoh yang panjang. Pengalaman ini juga menjadikan saya lebih matang dan yakin dalam menghadapi masyarakat yang berbilang kaum dan pegangan.

Sebuah lagi pengalaman yang tidak saya lupakan sepanjang menjalani Internship adalah menghantar rombongan pelajar IKM ke program kenegaraan di Klambulang Cave Camp, Bako. Agak pelik, kerana saya terpaksa mendaki bukit yang dikelilingi hutan Bako dalam waktu pejabat dan menggunakan pakaian formal lengkap. Tapi, berjaya juga saya harungi.

Pengalaman sesat ketika menuruni Gunung Santubong juga sangat berharga kerana pada waktu itu, rakan-rakan sangat mengambil berat dan sanggup menemani saya ketika saya mengalami kecederaan. Walau ketika itu kami sedang sesat, namun tidak seorang pun daripada kami yang menyalahkan satu sama lain. Hanya yang wujud di akal ketika itu adalah bagaimana untuk keluar daripada hutan tersebut.

Langit tak selalu cerah. Begitulah juga apa yang saya alami sepanjang menjalani latihan Internship ini. Pernah beberapa kali saya ingin mengalah dengan bebanan tugas yang terpaksa dipikul. Saya ingin menarik diri daripada Internship dan membiarkan Encik Edris menggagalkan sahaja gred Internship saya. Dan, pernah satu ketika dalam penerbangan balik dari Kuala Lumpur, saya berharap agar pesawat yang dinaiki terhumban sahaj ke laut, asalkan saya tidak perlu datang ke pejabat ini lagi. Subhanallah... Betapa tidak rasionalnya saya ketika itu. Terima kasih kepada Mama, Puan Jamayah, Puan Fa, Puan Salmah, Encik Edris, Phadee, Ira, Hazrul, dan semua yang menyokong saya ketika saya lemas ditelan siksaan Internship.

Segala kenangan pahit dan manis itu kini saya simpan sebaiknya sebagai satu senjata untuk saya mengharungi hari mendatang. Lebih-lebih lagi, ketika sudah bekerja kelak. Banyak sangat ilmu yang saya pelajari daripada Penyelaras Agensi, Encik Sofian. Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepadanya.

Encik Sofian seorang yang "out-spoken" dan berani bersuara. Saya menghormatinya kerana beliau sangat menyanjung tinggi nilai hidup yang dipegang. Mungkin saya ingin berkongsi kisah Encik Sofian dalam nukilan yang lain.

Terima kasih juga kepada pihak IKM, terutama Encik Mahazani kerana memberi saya ruang dan kesempatan utnuk merasai pengalaman berharga ini. Terima kasih semua warga IKM. Sama ada secara langsung atau tidak, bantuan dan sokongan anda sepanjang saya berkhidmat di sini amat saya sanjungi.

Jika diberi peluang untuk mengulangi detik di IKM ini, saya pasti akan menolaknya. Bukan kerana saya tidak selesa di IKM, tapi kerana detik di IKM ini sangat mahal dan bukan mudah untuk diulangi dan diganti. Hanya jauhari mengenal manikam. Sekian...

No comments: