Tuesday, January 13, 2009

RENUNGAN. Siri 1

Salam bimbingan,



Apa khabar semua peminat setia blog ini? Terima kasih kerana terus sudi meluangkan masa berharga anda untuk membaca nukilan blog ini. Bagaimana hari anda? Ceria? Dihujani dengan senyuman dan gelak ketawa? Ok, sebut tentang ketawa, hari ini saya ingin ajak para pembaca untuk merenung sejenak tentang ketawa.



Ketawa merupakan perbuatan yang terjadi secara sengaja atau tidak sengaja akibat tindak balas otak terhadap sesuatu yang melucukan diterima melalui deria kita (dengar, lihat, atau sentuh). Perbuatan ketawa sangat sinonim dengan kehidupan manusia. Pelbagai emosi boleh digambarkan melalui perbuatan ketawa. Misalnya, seorang ibu akan berusaha sepenuh hati untuk memastikan bayinya ketawa. Selain itu, ketawa juga boleh memalukan orang lain yang diketawakan.



Ekoran eratnya pengaruh perbuatan ketawa dengan kehidupan manusia, pelbagai kata penguat ditambah untuk menggambarkan tahap dan situasi perbuatan tersebut. Jadi, di sini saya ingin berkongsi dengan para pembaca tentang maksud peribahasa berkaitan ketawa berikut:



1. Ketawa terbahak-bahak:

Ketawa terbahak-bahak membawa maksud perbuatan ketawa yang kuat. Adapun perbuatan ketawa ini juga bererti ketawa sehingga mengeluarkan bunyi "bahak! bahak! bahak!" dan diekori dengan batuk kecil di hujung ketawa tersebut. Perbuatan ini sesuai dilakukan oleh mereka yang mengalami batuk kering. Ini kerana ketawa terbahak-bahak juga boleh mengeluarkan kahak-kahak dan menjadi "ketawa terkahak-kahak".



2. Ketawa berdekah-dekah:

Perbuatan ini merupakan perbuatan yang baik dan dituntut. Hal ini kerana perbuatan ini mulia di sisi masyarakat. Senyuman merupakan satu sedekah. Sekiranya kita senyum, walaupun kita senyum untuk berjam-jam lamanya, ia tetap dikira sebagai satu sedekah. Namun, apabila kita ketawa, sedekah kita akan dilipat gandakan menjadi "berdekah-dekah". sebab itulah ketawa berdekah-dekah ini dituntut oleh masyarakat kita.



3. Ketawa dalam Budaya Sarawak:

Di Sarawak, ketawa bukanlah satu perbuatan yang baik untuk dilakukan. Perbuatan ketawa di Sarawak dianggap boleh mendatangkan bahaya kepada orang yang ketawa serta mereka yang ditertawakan. Istilah ketawa di Sarawak disebut sebagai "tetak". Orang Sarawak tidak dibenarkan ketawa berlebihan kerana bimbang boleh mendatangkan maut. Hal ini kerana terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa orang Sarawak yang ketawa boleh membunuh orang lain. Misalnya, dalam rancangan 999, banyak kali dipaparkan kes "tetak sampai mati". Oleh itu, orang Sarawak tidak dibenarkan "tetak" berlebihan kerana bimbang boleh membunuh.

4. Kautowa

Kautowa pula perbuatan yang lebih unik daripada ketawa biasa. Orang yang "Kautowa" biasanya akan ditertawakan oleh orang lain. Di China, perbuatan ini sering kali disebut sebagai "wo me kau to wa" atau Kautowa.

5. Ketawa sendiri

Ketawa sendiri memang mudah dilakukan. Tetapi, jarang kita melihat rakan atau saudara mara kita yang akan ketawa sendiri secara tiba2. Perbuatan ini sebenarnya menunjukkan bahawa anda sedang bahagia. Selain itu, perbuatan ini juga boleh mewujudkan rumah tangga yang bahagia. Hal ini kerana, orang yang banyak ketawa sendiri akan dihantar ke rumah bahagia. Bukankah ini kebahagiaan yang kita idamkan selama ini?

Renung-renungkan dan selamat beramal!!!!

No comments: