Thursday, November 13, 2008

Harga Sebuah Kemajuan = $$$$

Salam...

Terima kasih kerana sudi membaca luahan pendapat saya untuk kali ini. Di sini saya ingin berkongsi kepada pembaca sekalian tentang pengalaman saya ketika bercuti di Kuala Lumpur pada tahun lepas. Pada Disember 2007, saya bersama keluarga telah pergi bercuti di Kuala Lumpur. Atas dasar ingin berjimat, kami telah mengambil 3 penerbangan berbeza dari Kuching ke Kuala Lumpur menaiki Air Asia. Setibanya di Kuala Lumpur kami telah disambut oleh 'bakal isteri' saya, Farah Dianti di LCCT. Dari sana, kami telah menyewa teksi untuk ke hotel. Dengan bayaran RM60.00, kami pun tiba di hotel yang ditujui.

Memandangkan tempoh percutian kami agak lama, iaitu seminggu, kami telah menginap di salah sebuah hotel bertaraf sederhana rendah di tengah-tengah ibukota. Keadaan biliknya selesa dengan kemudahan yang mencukupi walaupun kurang mewah. Sebelum melelapkan mata di bilik masing-masing, kami telah berbincang tentang tentatif perjalanan kami untuk keesokan harinya.

Ada di antara kami yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Kuala Lumpur. Oleh kerana saya telah banyak kali datang ke sana, saya diminta oleh ahli keluarga menjadi pemandu pelancong yang tidak bertauliah. Hari pertama kunjungan kami dipenuhi rasa kagum ahli keluarga saya yang pertama kali ke sana. Melihat ketinggian KLCC, kecanggihan Petrosains dan PetroSpeed, keunikan Sunway Pyramid, dan keluasan Berjaya Time Square sangat mempesonakan sepupu-sepupu saya yang berusia 7 ke 9 tahun. Seterusnya kami telah ke puncak Genting Highland. Banyak aktiviti permainan yang ingin disertai oleh kanak-kanak tersebut, namun kerana kekangan bajet, mereka hanya melihat sahaja.

Di sebalik kemajuan yang dikecapi Malaysia, khususnya di Kuala Lumpur, tersirat satu fenomena yang mungkin tidak disedari oleh warga KL sendiri. Fenomena yang jarang terdapat di negeri-negeri lain. Iaitu sikap keangkuhan dan kesombongan penduduknya. Fenomena ini jelas dilihat di setiap inci dan pelusuk KL. Lihat sahaja di jalanraya, sikap pemandu dan pengguna jalanraya yang lain sangat buruk. Memandu dengan laju dan langsung tidak menghormati para pejalan kaki yang hendak melintas jalan. Bunyi hon dan siren ibarat detikan saat. Keadaan ini sangat berbeza dengan suasana hidup yang tenang di Kuching.

Sebagai seorang warga Sarawak, kami mempunyai satu tabiat, iaitu senyum kepada mereka yang ada di depan kami. Tidak kiralah sama ada dikenali atau tidak. Namun, di KL senyuman yang saya sedekahkan membawa makna lain pada persepsi mereka. Lebih buruk lagi apabila saya senyum kepada 'cashier' di pasaraya Tesco, dengan tidak semena-mena saya telah dijeling sinis. Setelah dijelaskan oleh rakan saya yang pernah menuntut di universiti di KL, tabiat senyum kepada mereka yang tidak dikenali akan membawa persepsi buruk. Mereka yang dihulurkan senyuman akan menyangka bahawa kita berniat jahat terhadap mereka.

MasyaAllah... Budaya ini langsung berbeza dengan budaya di Kuching. Di sini, kami semua, warga Sarawak ibarat bersaudara. Bukan saya ingin menunjuk-nunjuk kebaikan kami, namun perkara ini telah diperakui oleh rakan-rakan lain yang datang dari Semenanjung. Mereka menyatakan bahawa kami sangat peramah dan mudah mesra. Budaya mesra dan peramah inilah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap warga KL. Sikap sombong dan individualistik yang mula ditanam dalam diri mereka sepatutnya ditangani segera.

Memang benar kita banyak mengambil kemodenan dan kemajuan teknologi Barat. Namun, pastinya kita tidak perlu mengambil budaya dan sikap mereka. Jika negara maju tetapi budaya kita lemah, ia samalah seperti atlet pecut yang mengambil dadah terlarang. Lariannya pantas, akalnya melayang. Tujuan kita mengejar kemajuan sebenarnya adalah untuk menjadikan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang kuat. Jika budaya bangsa kita hilang, bagaimana kita hendak menjadi sebuah entiti yang disegani.

Perlukah kita bersikap buruk untuk menikmati kemajuan? Perlukah kita tinggalkan kesantunan budaya bangsa yang diperjuangkan sejak dulu oleh nenek moyang kita? Inikah harga sebuah kemajuan yang kita perlu bayar? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Saya hanya berkongsi persepsi ini atas dasar cinta pada bangsa saya, Bangsa Malaysia. Terima kasih kerana anda sudi membaca. Renungkan dan sebarkan pada yang lain. Salam...

1 comment:

Zuraidah said...

Hisyam
Gembira rasa baca blog ini. Bagus bahasanya. Teruskan. kalau nak tahu itu sebab saya suka duduk di Kuching dan lari dari duduk di KL atau PJ. Memang saya tak suka dengan sikap angkuh orang Malaysia - Cina, melayu, India, sama saja - yang duduk di KL. Lagi tinngi pelajaran lagi angkuh. Pernah saya ceritakan bagaimana budi bahasa anak muda telah hapus. Harap perangai begini tidak menjadi ikutan. Teruskan senyum sebab senyum mneyerikan muka. Biarlah apa mereka fikir asalkan hati itu bersih. Orang KL ni banyak yang syok sendiri!!!!
Good luck
mama